Ajaran-ajaran Bahá’u’lláh
untuk Umat Manusia

“Kemanusiaan boleh disamakan dengan bunga berwarna-warni dalam sebuah taman. Terdapat perpaduan dalam kepelbagaian. Setiap menyumbang dan meningkatkan keindahan yang lain.” 
—‘Abdu’l-Bahá

Satu Keluarga Manusia

Keyakinan bahawa kita tergolong dalam satu keluarga manusia adalah di pusat Akidah Bahá'í. Prinsip keesaan umat manusia adalah pusat di mana semua ajaran Bahá'u'lláh berkisar.

Salah tanggapan dan prasangka yang melihat sekumpulan orang lebih unggul daripada yang lain adalah penyumbang besar kepada penderitaan manusia pada masa ini. Prasangka perkauman menghalang potensi mangsanya, merosakkan pelakunya, dan merosotkan kemajuan manusia. Sekiranya masalah ini hendak diatasi, kesatuan umat manusia mestilah ditegakkan dan dilindungi oleh undang-undang serta menerusi dasar dan struktur sosial.

Tiada kumpulan etnik atau budaya yang lebih unggul daripada yang lain. Semua menerima cinta Tuhan dengan ukuran yang sama. Pengiktirafan oleh biologi dan sains sosial bahawa hanya ada satu "bangsa" manusia menyingkirkan mana-mana asas prasangka. Setiap individu, daripada latar belakang apa pun boleh menyumbang kepada kebaikan dunia.

Cinta kepada semua orang di dunia tidak mengecualikan cinta kepada negara sendiri. Tetapi semangat cintakan negara yang tidak terkawal dan prasangka yang terkait harus memberi jalan kepada kesetiaan yang lebih luas, iaitu kepada cinta manusia secara keseluruhan.“Janganlah seseorang berbangga kerana mencintai negaranya,” kata Bahá'u'lláh, “biarlah dia sebaliknya berbangga dalam hal ini, bahawa dia mencintai jenisnya.”

Agama yang Berkembang

Agama-agama di dunia telah diasaskan oleh Perwujudan Tuhan yang berturut-turut. Setiap agama berasal daripada Tuhan dan sesuai dengan zaman dan tempat di mana ia diturunkan. Pada dasarnya, agama Tuhan adalah satu dan semakin berkembang

Agama mempunyai kuasa untuk mengilhami pencapaian yang luar biasa dalam semua bidang usaha manusia dan menonjolkan sifat-sifat keperwiraan, pengorbanan diri, dan disiplin diri yang luar biasa daripada para pengikut agama. Agama menghasilkan kod undang-undang yang sejagat dan sistem institusi yang membolehkan orang ramai hidup bersama dalam masyarakat yang semakin besar dan kompleks.

Sekiranya semua agama yang agung adalah daripada Tuhan yang sama, dan boleh dianggap sebagai satu pada dasarnya, bagaimanakah kita dapat memahami perbezaannya, terutamanya mengenai amalan sosial? Bahá'u'lláh menjelaskan bahawa Pengasas agama dunia boleh dianggap sebagai ahli perubatan yang mahir. Setiap mempunyai misi utama, dan masing-masing mempunyai pemahaman yang lengkap tentang keadaan tubuh manusia dan mampu menetapkan penawar yang sesuai bagi penyakit dunia pada masa dan tempat di mana Dia muncul.

Misi Bahá'u'lláh, Pengutus Tuhan bagi zaman ini, adalah untuk membangkitkan semula kerohanian manusia dan menyatukan orang-orang di dunia. Ajaran-ajaran Bahá'u'lláh membicarakan keamanan sebagai "matlamat utama seluruh umat manusia" dan menerangkan prinsip-prinsip rohani yang akan membimbing umat manusia kepada keamanan sejagat yang kekal ini. Perdamaian yang agung ini telah dijanjikan oleh semua Perwujudan Tuhan yang terdahulu.

Wahyu yang Progresif

Jika kita menyamakan Tuhan dengan matahari yang tidak dapat didekati, maka Perwujudan Tuhan adalah seperti cermin yang memancarkan cahaya Tuhan kepada manusia.

Pengetahuan kita tentang Tuhan, dan keupayaan rohani, intelektual, dan moral manusia, telah ditanam oleh Perwujudan Tuhan. Pengajar Ketuhanan ini muncul di tempat yang berlainan di dunia pada masa yang berlainan, dengan ajaran yang penting bagi perkembangan manusia di tempat dan masa itu.

Walaupun setiap Perwujudan mempunyai keperibadian yang berbeza dan misi yang tertentu, Mereka semua berkongsi tujuan yang ditahbiskan, iaitu untuk mendidik manusia, memperbaiki watak mereka, dan menganugerahi segala sesuatu yang tercipta dengan rahmat.

Dengan kedatangan setiap Perwujudan, kuasa-kuasa rohani dibebaskan, yang dari masa ke masa, semakin meresapi urusan manusia, dan memberikan dorongan utama untuk perkembangan selanjutnya dalam kesedaran dan perkembangan masyarakat.

Proses ini, di mana Perwujudan Tuhan telah selalu menyediakan bimbingan yang diperlukan bagi evolusi sosial dan rohani manusia, dikenali sebagai "wahyu yang progresif." Bahá'u'lláh secara jelas menyatakan bahawa selepas perjalanan sekurang-kurangnya seribu tahun, seorang Perwujudan Tuhan yang lain akan muncul.

“Wahyu Tuhan boleh disamakan dengan matahari. Tidak kira berapa kalinya ia terbit, hanya ada satu matahari, dan padanya bergantung kehidupan segala benda.” —The Báb

Pencipta Esa yang Penyayang

Tulisan Bahá’í menerangkan bahawa walaupun kita dapat melihat sifat-sifat Tuhan dalam segala benda yang tercipta, walaupun kita dapat melihat tanda-tanda Tuhan dalam keindahan, kekayaan, dan kepelbagaian alam semesta, realiti Tuhan sebagai Pencipta alam semesta dan semua yang ada di dalamnya adalah di luar pemahaman mana-mana fikiran manusia. Tuhan adalah tidak terbatas, tidak terhingga, dan maha berkuasa. Tuhan adalah yang maha mengetahui, yang maha pemurah, dan yang maha penyayang. Tuhan adalah satu.

Kerana cinta kepada umat manusia, Tuhan telah mendedahkan diri-Nya dan kehendak-Nya melalui satu siri Pengutus Ketuhanan, atau "Perwujudan Tuhan." Apa yang kita tahu mengenai Tuhan yang ghaib telah diajarkan kepada kita oleh para Pengasas agama-agama dunia yang berturut-turut ini. Ajaran-ajaran Mereka membantu kita mengembangkan dan menyampaikan sifat rohani kita dan mendekati kita kepada Pencipta kita.

Walaupun kita terhalang daripada mengenali sifat sebenar Tuhan, tujuan hidup kita adalah untuk mengenali, mencintai, dan mendekatkan diri kepada-Nya. Kita boleh melakukannya dengan berusaha mencontohi sifat-sifat Tuhan, seperti cinta, belas kasihan, kedermawanan, keadilan, dan kemurahan hati, dalam kehidupan batin dan tindakan kita.

Jiwa Manusia dan Kepentingan Keluhurannya

Inti identiti setiap insan ialah roh rasional dan abadi, dan Bahá'u'lláh menggunakan metafora matahari untuk menerangkan hubungan antara roh dan jasad: “Roh manusia ialah matahari melaluinya jasadnya disinari , dan daripada ia menarik bekalannya, dan oleh itu haruslah diambil perhatian.” 

Kita dapat mencerminkan sifat-sifat ilahi sejauh kita membersihkan cermin hati dan minda kita melalui doa, kajian dan amalan akan Kitáb-kitáb Suci, pemerolehan ilmu, usaha untuk meningkatkan tingkah laku kita dan untuk mengatasi ujian dan kesukaran, serta khidmat kepada umat manusia. 

Apabila kematian berlaku di dunia ini, roh terpisah daripada jasad, dan terus maju dalam perjalanan abadi menuju kesempurnaan.

Perjalanan Abadi Roh Manusia

Bahá'u'lláh menegaskan bahawa setiap manusia memiliki roh yang rasional dan tersendiri yang merupakan diri yang sebenar. Roh itu berasal dari dunia rohani Tuhan. Ia dicipta dalam imej dan rupa Tuhan, yang bermaksud bahawa ia mampu memperoleh sifat-sifat ketuhanan dan sifat-sifat syurgawi. Roh individu memulakan perhubungannya dengan manusia pada masa penghamilan, tetapi perhubungan itu tidak berbentuk kebendaan; roh tidak memasuki atau meninggalkan tubuh dan tidak memenuhi ruang fizikal.

Roh menunjukkan dirinya melalui kuasa minda dan sifat-sifat perwatakan yang kita kaitkan dengan setiap orang. Ungkapan roh ialah cinta dan belas kasihan, keimanan dan keberanian, pemikiran rasional dan imaginasi, dan sifat manusia yang lain yang tidak dapat dijelaskan sepenuhnya dengan menganggap manusia sebagai binatang atau sebagai mesin organik yang canggih.

Roh kita dipelihara melalui doa. Seperti yang dinyatakan dalam tulisan Bahá’í :

“Kerana teras keimanan agama adalah perasaan mistik yang menyatukan manusia dengan Tuhan. Keadaan perhubungan rohani ini dapat diwujudkan dan dikekalkan melalui meditasi dan doa .... Akidah Bahá'í, seperti semua agama Ketuhanan yang lain, adalah pada dasarnya mistik sifatnya. Matlamat utamanya ialah perkembangan individu dan masyarakat melalui pemerolehan sifat-sifat dan kuasa-kuasa rohani. Ia adalah roh manusia yang perlu pertama sekali diberi makanan. Dan doa dapat berikan yang terbaik untuk kesejahteraan rohani ini.”

Apabila kematian berlaku, jasad itu kembali ke dunia debu, sementara roh terus maju ke arah Tuhan. Bahá'u'lláh menulis bahawa roh “akan menunjukkan tanda-tanda Tuhan dan sifat-sifat-Nya, dan akan mengungkapkan kasih sayang dan kurnia-Nya.”

Keadaan jelas kehidupan akhirat masih menjadi misteri. “Sifat roh selepas kematian tidak dapat digambarkan,” tulis Bahá'u'lláh. Syurga dapat difahami sebagai keadaan relatif yang dekat kepada Tuhan; neraka sebagai keadaan berjauhan daripada Tuhan. Tahap kedekatan seseorang kepada Tuhan adalah akibat semula jadi usahanya untuk berkembang secara rohani, dan juga bergantung kepada rahmat dan kurnia Tuhan. Semasa kewujudan fizikal duniawi, seseorang dapat mengembangkan sifat-sifat rohani yang akan diperlukan dalam kehidupan seterusnya, yang merupakan kewujudan rohani.